السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Tahniah Buat Skuad Harimau Muda
22/11/2011 10:29:00
Tahniah buat skuad bola sepak Sukan Sea, diterajui jurulatih Ong Kim Swee, yang benar-benar membuatkan kita bangga.
Perlu diingat, acara bola sepak Sukan Sea di tanah Jakarta, Palembang bukan sebarang pingat..
Ia dianggap 'ibu' kepada semua pingat emas.
Malah, tidak keterlaluan jika kita katakan, meskipun Indonesia bergelar juara keseluruhan Sukan Sea edisi ke-26 kali ini, kejayaan mereka sebenarnya "cacat".
Ia gara-gara "berputih mata", emas berprestij lagi penuh tradisi daripada acara bola sepak yang "terlepas", dikalung ke leher pemain Malaysia.
Biarpun dimulakan dengan provokasi keterlaluan di luar padang, "Harimau Muda" beraksi penuh semangat lagi garang untuk mempertahankan pingat emas selepas menundukkan tuan rumah, 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.
Pada aksi permainan sebenar 90 minit, serta tambahan masa, kedua-dua pasukan terikat satu sama dalam aksi penuh klasik serta mendebarkan di lokasi yang kini sudah "luntur" keramatnya, Stadium Gelora Bung Karno.
Beraksi di stadium utama Gelora Bung Karno yang dibanjiri lebih 100 ribu penyokong lautan merah putih, Indonesia terlebih dahulu merentap semangat Malaysia.
Apa tidaknya, hanya selepas lima minit sepak mula, Indonesia sudah di depan menerusi tandukan kencang Gunawan Dwi Cahyo minit ke lima yang mengegar jaring, sekaligus menyemarakkan semangat penyokong tuan rumah.
Minit ke-16, skuad negara dikejutkan lagi dengan jaringan kedua, mujur pengadil dari Jepun, Tojo Minoru menafikan jaringan Titus Bonai yang 'offside'.
Kesempatan terbaik Malaysia untuk membolosi gawang lawan muncul pada minit ke-19 tetapi sepakan deras Mohd Irfan Fazail berjaya dibaca penjaga gol Indonesia, Kurnia Meiga.
Skuad Harimau Muda terpaksa menanti hingga minit ke 38 sebelum kegigihan ketua pasukan Baddrol Bakhtiar yang kemudian mengumpan bola untuk disambut Asrarudin Putra Omar dengan tandukan rendah untuk gol penyamaan.
Satu sama tamat separuh masa, aksi terus rancak pada babak kedua.
Namun kedua-dua pasukan gagal menyudahkan beberapa peluang terhidang yang dimiliki.
Tamat 90 minit, aksi masa tambahan 30 minit juga tidak dapat menentukan pemenang memaksa perlawanan berakhir menerusi tendangan penalti.
Juga berlangsung penuh mendebarkan apabila pemain Indonesia, Gunawan, dan Fakri Saarani buat Malaysia, gagal menyempurnakan tendangan.
Peluang tiba apabila Khairul Fahmi Che Mat menafikan tendangan terakhir Ferdinand Srinaga.
Dan Badrol muncul wira apabila tendangannya meleret mencecah jaring meskipun sedaya upaya ditampan penjaga gol lawan.
Kemenangan ini memberikan pingat emas ke- 59 buat kontijen Malaysia.
semalam sejarah, hari ini kenyataan, esok harapan..
No comments:
Post a Comment